Monday, September 29, 2008

Keperluan Tajdid Fiqh Di Malaysia


Tajdid di dalam bidang fiqh lebih membawa kepada usaha mengembalikan umat Islam kepada penghayatan fiqh Islami yang sebenarnya dan juga memberikan fiqh Islami ruang untuk menyelesaikan masalah umat Islam. Demi menjayakan penerapan fiqh sebagai panduan untuk menyelesaikan masalah manusia, fiqh itu sendiri haruslah bersifat universal dan tidak terkongkong serta jumud. Ijtihad-ijtihad yang telah membina fiqh pada zaman klasik sudah tentunya memerlukan pengkajian semula, kerana ianya mungkin tidak relevan lagi dengan suasana semasa. Sikap taasub dan terkongkong di dalam satu mazhab tanpa mengiktiraf dan mengambil kebaikan daripada pendapat orang lain juga perlu dirungkaikan. Persembahan fiqh dalam bentuk yang lebih moden dan juga tidak rigid juga merupakan salah satu tuntutan tajdid. Fiqh yang hanya menumpukan pada ruang- ruang tertentu dan sempit, perlulah dikeluarkan kepada dunia yang sebenar. Seperti kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Agama Islam bukanlah hanya pada ibadat semata- mata, ataupun akhlak dan adab sahaja, tetapi ianya adalah dunia dan juga akhirat, fizikal dan juga spritual, dan juga tamadun..."(Wahbah al- Zuhaily et. al.(2000), Tajdid al-Fiqh al-Islamiyy, Damsyik: Dar al- Fikr. hal. 155-158)

Thursday, September 25, 2008

Islam Dan Bahaya Kemurtadan


Dewasa ini, masyarakat Islam menghadapi serangan-serangan yang keras yang bertujuan untuk mencabut nilai-nilai Islam dari akarnya. Di antaranya ini dilakukan melalui serangan pendakwah Kristian yang bekerjasama dengan imperialis Barat. Mereka terus melakukan aktiviti tersebut di dunia Islam terutamanya di wilayah minoriti Islam, bertujuan untuk mengkristiankan kaum Muslimin di dunia sebagaimana yang diumumkan dalam muktamar 'Colorado' pada tahun1978 yang membahas tidak kurang daripada empat puluh agenda seputar Islam dan kaum Muslimin termasuk strategi untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan kaum Muslimin dengan dana seribu juta dolar. Selain itu, telah didirikan lembaga 'Zwemmer' untuk mengeluarkan para pakar dalam bidang mengkristiankan kaum muslimin. Bahaya besar yang dihadapi oleh masyarakat adalah ancaman terhadap akidah. Oleh kerana itu, murtad daripada agama atau kufur setelah iman merupakan bahaya terbesar bagi masyarakat Islam.

Islam Di Dunia Melayu: Mengimbau Sejarah dan Mendepani Realiti


Islam di alam Melayu mempunyai tautan dan susur galur sejarah yang amat panjang. Malahan teori kedatangan Islam ke dunia Melayu juga masih diperdebatkan lagi kerana terdapat banyak fakta daripada ahli-ahli sejarah yang masing- masing mempunyai bukti bagi menyokong segala fakta yang diberikan. Maka, tinggal pada kita untuk menerima mana satu fakta untuk dijadikan sumber rujukan.


Di sini bukan pertikaian mengenai kedatangan Islam yang ingin dibicarakan, tetapi bagaimana Islam dapat diserap ke alam Melayu dan cabarannya pada masa kini. Salah satu kaedah penyebaran syiar Islam ialah melalui media dakwah. Terbukti kaedah ini berkesan apabila Parameswara selaku raja Melaka memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Megat Iskandar Shah.


Implikasi penting daripada peristiwa tersebut mengakibatkan rakyat Melaka di zaman itu menerima Islam beramai-ramai serta menjadikannya cara hidup mereka. Apa yang pasti kini, Islam dan Melayu mempunyai satu pautan yang sangat erat dan istimewa sehingga undang-undang ditakrif dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Melayu itu semestinya Islam...