Monday, September 29, 2008

Keperluan Tajdid Fiqh Di Malaysia


Tajdid di dalam bidang fiqh lebih membawa kepada usaha mengembalikan umat Islam kepada penghayatan fiqh Islami yang sebenarnya dan juga memberikan fiqh Islami ruang untuk menyelesaikan masalah umat Islam. Demi menjayakan penerapan fiqh sebagai panduan untuk menyelesaikan masalah manusia, fiqh itu sendiri haruslah bersifat universal dan tidak terkongkong serta jumud. Ijtihad-ijtihad yang telah membina fiqh pada zaman klasik sudah tentunya memerlukan pengkajian semula, kerana ianya mungkin tidak relevan lagi dengan suasana semasa. Sikap taasub dan terkongkong di dalam satu mazhab tanpa mengiktiraf dan mengambil kebaikan daripada pendapat orang lain juga perlu dirungkaikan. Persembahan fiqh dalam bentuk yang lebih moden dan juga tidak rigid juga merupakan salah satu tuntutan tajdid. Fiqh yang hanya menumpukan pada ruang- ruang tertentu dan sempit, perlulah dikeluarkan kepada dunia yang sebenar. Seperti kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Agama Islam bukanlah hanya pada ibadat semata- mata, ataupun akhlak dan adab sahaja, tetapi ianya adalah dunia dan juga akhirat, fizikal dan juga spritual, dan juga tamadun..."(Wahbah al- Zuhaily et. al.(2000), Tajdid al-Fiqh al-Islamiyy, Damsyik: Dar al- Fikr. hal. 155-158)

1 comment:

anjung SYURA said...

tajdid fiqh boleh dilakukan oleh ulama Malaysia sekiranya timbulnya permasalahan baru mengikut keadaan semasa supaya umat Islam tidak menganggap Islam itu jumud dan tidak merasa tekongkong dengan hukum yang ada sebelum ini.

-syura-