Wednesday, October 15, 2008

PERMATA KELUARGA


Ibu penyejuk hati, bapa penyemangat jiwa, bapa pembangun jiwa, ibu penyuburnya. Anak-anak selalu dengan ibu maka jagalah akhlak mereka melalui pengajaran, melalui didikan dan yang paling berkesan melalui tauladan. Bapa jarang ada di rumah, jadikanlah tempat rujuk sahaja yakni apabila ada masalah di dalam keluarga, tanyalah bapa. Melalui ibu sebagai perantaraan berilah tahu kepadanya tetapi tidak salah kalau anak-anak terus direct kepadanya asalkan jaga adab-adabnya.


Segala sifat mahmudah latihlah di rumah, di sekolah menambahnya dan latihlah mereka beribadah disiplinkan sembahyangnya. Ajak mereka bekerja sama mengurus rumah tangga. Programkan kerja-kerja, disamping kerja-kerja sekolahnya. Anak-anak berilah kasih sayang tapi jangan terlalu dinampakkan kecuali yang kecil-kecilnya. Latih juga di kalangan mereka berkasih sayang sesamanya bertolong bantu, bermaafan, bertolak ansur dan berlebih kurang.


Ajarlah juga dan wujudkan di dalam keluarga, ibu dan ayahlah modelnya dan mereka akan menirunya iaitu galakkan makan bersama di dalam institusi keluarga. Ajar mereka adab-adab dan displinnya, tidur baring, membaca dan rehat tunjukkan juga cara-caranya. Agar keluarga terurus, disiplin ada wujud harmoni.Itulah syurga rumah tangga, sebelum syurga di akhirat sana. Dari kecil lagi mendidik anak-anak itu hendaklah kenalkan Tuhan, mencintai dan menakuti-Nya. Dari kecil lagi jangan terlalu dibelai dan dimanjakan, kalau memarahinya jangan keterlaluan sampai hilang pertimbangan dan jangan kerap pula dilakukan atau tidak pernah dimarahi, kejahatan dibiarkan berpanjangan. Sayangnya kita kepada anak itu jangan terlalu dinampakkan, apa sahaja kehendak anak-anak ditunaikan tanpa dipersoalkan dan jangan dididik dengan duit keterlaluan dan berlebih-lebihan. Begitulah juga jangan pakaian berlebih-lebihan hingga pembaziran, kalau sekadar yang diperlukan itu tidak mengapa bahkan itu adalah kewajipan.


Sembahyang dari kecil lagi diajar dan disuruhdirikan, jangan setelah dewasa barulah hendak diperintahkan padahal sembahyang itu dari kecil lagi mesti dibiasakan supaya setelah dewasa ia telah mendarah mendaging, payah hendak ditinggalkan. Begitulah juga halal haram pantang-larang Tuhan dari kecil lagi diajarkan minta mereka tinggalkan. Mana yang disuruh Tuhan dari kecil lagi diajarkan dan diamalkan setelah dewasa mereka mudah meneruskan kerana sudah kebiasaan.


Dari kecil lagi pergaulan bebas dibataskan, kalau hendak keluar rumah hendaklah dipersoalkan, balik ditanyakan mengapa lambat pulang hingga larut malam. Didik mereka memilih kawan yang beragama dan takutkan Tuhan kerana silap pilih kawan, ia akan merosakkan. Latih dari kecil lagi memasak, mengemas rumah, cintakan ilmu dengan banyak membaca ilmu pengetahuan. Latih mereka hidup berdisiplin ada time ibadah, ada time membaca, ada time makan, ada time rehat, ada time bermain ada time berjalan agar setelah dewasa kelak mereka akan menjadi bangsa yang ada disiplin hidup yang berkekalan. Disiplin itulah menjadikan bangsa itu beragama, rajin, maju, bersatu, rasa bersama bekerjasama dan berwibawa. Bangsa itu akan kuat, disegani dan dihormati serta diikuti.


Latih dari kecil lagi makan bersama, sembahyang bersama, bekerjasama dan dengan jiran dihormati dan diperhati. Didik anak-anak selepas Subuh dan Asar jangan dibenarkan tidur kecuali perlu kerana ia akan melemahkan akal fikiran menjadi manusia pemalas. Dari kecil lagi didik hormati ibu bapa, berkasih sayang dengan saudara-mara dan keluarga dan hubungkan silaturrahim dengan sanak saudara. Berkawan hendaklah setia, utamakan kawan dari diri kita. Begitulah hakikatnya kaedah tarbiah yang terbaik untuk anak- anak.

No comments: