Wednesday, October 15, 2008

Politik Islam Secara Hikmah


Politik Islam secara hikmah aspirasi politik Islam harus diperjuangkan dengan penuh hikmah dan bijaksana bersesuaian dengan kaedah fiqh al-taghyir atau fiqh perubahan. Sistem demokrasi hari ini semakin diterima meluas sebagai aspirasi perjuangan, selain melibatkan hak asasi manusia dan masyarakat madani. Oleh itu, setiap pemikir politik termasuk politik Islam perlu bersikap dengan benar berlandaskan prinsip sesuai dengan semangat dan hikmah ajaran Islam.

Seandainya demokrasi diberi persepsi sebagai sistem yang membeku pada satu bentuk yang tetap sementara sistem politik Islam ditafsirkan sebagai tegar, maka sukar untuk mempertemukan demokrasi dalam Islam. Sebaliknya, jika demokrasi difahami sebagai bentuk sistem yang berubah-ubah dan terbuka kepada modifikasi yang berterusan, sementara politik Islam juga ditafsirkan secara dinamik, sesuai dengan realiti yang berbeza, maka akan ada titik pertemuan antara demokrasi dan Islam.

Apa yang tidak boleh berubah adalah prinsip pemerintahan Islam seperti keadilan dan 'syura' sedangkan bentuk, sistem serta mekanisme boleh berubah mengikut zaman.Umat Islam di negara ini mempunyai kelebihan dan tradisi luar biasa untuk menjadi pemimpin negara yang baik dan dapat diterima oleh semua rakyat. Untuk itu, tujuh pegangan harus menjadi asas pendekatan orang Melayu bagi menghadapi cabaran kepelbagaian budaya demokrasi ala-Barat dalam negara ini. Mereka hendaklah mempertahankan secara tegas, bijak, artikulatif dan tanpa bertolak-ansur dengan apa jua desakan dan tuntutan yang boleh memusnahkan asas pembinaan negara dan kedaulatan.

Umat Islam hendaklah mempertahan dan melaksanakan dengan cekap, bersih, amanah dan adil dalam melaksanakan dasar kebangsaan bagi bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan. Manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan kaum supaya mengenali antara satu sama lain, bukan untuk berpecah-belah dan dilaga-lagakan dalam politik perkauman. Golongan itu juga hendaklah memastikan bahawa model pembangunan negara dalam ekonomi dan pendidikan perlu mengikut dasar holistik serta adil kepada semua kaum.

Mereka juga hendaklah memastikan parti politik tidak mengamalkan politik perkauman atau politik untuk menguasai dan menewaskan Melayu atau bukan Melayu. Sebaliknya, mereka hendaklah mengamalkan politik demokrasi permuafakatan untuk kesejahteraan, kemakmuran, keselamatan dan perpaduan.

2 comments:

CaHaYaPeTuNjUk said...
This comment has been removed by the author.
CaHaYaPeTuNjUk said...

Politik merupakan tunjang kepada sesebuah negara. Sekiranya kepimpinan dalam politik itu mengalami krisis maka negara akan menghadapi kepincangan yang serius. Oleh itu, keadilan dan ketulusan dalam berpolitik seperti yang dianjurkan Islam adalah asas penting yang perlu dipegang dengan sebaiknya…